BERSEDEKAH TAMBAH REZEKI
Amalan bersedekah merupakan amalan terpuji dan dituntut dalam Islam. Malah, ia merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah SWT. Ganjarannya begitu besar berbanding amalan lain.Bersedekah tidak perlu menunggu sewaktu seseorang itu berharta,lapang atau mendapat ‘durian runtuh’,tetapi ia boleh dilaksanakan sepanjang masa,walaupun ketika seseorang itu miskin atau dalam kesempitan.
Pasti anda terfikir, apa yang hendak disedekahkan ketika diri sendiri sangat memerlukan?Apa kelebihan bersedekah ketika dalam keadaan susah? atau adakah lebih baik memiliki harta dahulu,kemudiannya baru bersedekah?
MEMBERI TANPA MENGHARAPKAN BALASAN
Bersedekah merupakan suatu pemberian kepada seseorang yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang timbal balik daripada orang yang menerima dengan niat mendapat reda daripada Allah SWT.
Hakikatnya bersedekah merupakan manifestasi lambang kepercayaan seseorang kepada Allah SWT dengan cara menuruti segala perintah-Nya melalui perbuatan seperti amalan bersedekah.
Amalan bersedekah banyak dinyatakan dalam al-Quran.Pelbagai ayat menjelaskan kelebihan dan kemuliaan amalan bersedekah, hinggakan ayat yang membicarakan mengenai bersedekah seringkali digandingkan dengan perkara besar dan penting seperti hubungannya dengan hari kiamat,kematian,keimanan dan sebagainya.Ini secara tidak langsung menunjukkan istimewanya amalan ini dan beruntunglah orang-orang yang sentiasa mengamalkannya baik ketika senang mahupun susah.
Antara nas al-Quran dan hadis yang menunjukkan kelebihan amalan bersedekah ini adalah seperti berikut:
Saranan menginfakkan harta sebelum datangnya hari kiamat.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu,sebelum tibanya hari (kiamat)yang tidak ada jual-beli padanya,dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat),serta tidak ada pula pertolongan syafaat.Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Harapan si mati agar dihidupkan kembali supaya dapat bersedekah.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi,supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh”. (Surah al-Munafiqun: 10).
Ganjaran bersedekah digandakan berlipat kali ganda.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan (derma)orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai;tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat)kurniaNya,lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya”. (Surah al-Baqarah: 261).
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah),Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”.Surah Ali-Imran: 134.
Diriwayatkan daripada Adibin Hatim r.a: Bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Siapa yang sanggup menghalang dirinya dari api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma,maka hendaklah dia lakukan(segera): (HR Muslim).
Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas menunjukkan bahawa bersedekah tidak perlu menunggu kaya dan senang, malah seseorang yang menginfakkan harta sebelum hijrah lebih susah dan sukar berbanding keadaan selepas hijrah.Begitu juga keadaan seseorang yang hanya memiliki sebiji tamar, disarankan bersedekah sebahagiannya.Ia jelas menunjukkan keadaan seseorang yang tidak memiliki apa-apa.
Timbul persoalan, mengapa orang miskin atau dalam kesusahan turut dituntut untuk bersedekah? Hakikatnya merekalah yang seharusnya menerima bantuan. Inilah antara tanda-tanda dan bukti kekuasaan Allah SWT yang memerintahkan sesuatu yang tidak mampu dijangkaui oleh akal pemikiran manusia.
Antara hikmahnya, sedekah daripada orang miskin dapat menyuburkan harta dan menambah keberkatan pada rezeki mereka.Lazimnya,orang miskin memang berhajat untuk menambahkan rezeki. Rupa-rupanya amalan bersedekah daripada mereka sendiri,mampu menambahkan lagi keberkatan rezeki. Malah hikmah yang terbesar adalah mudahnya mereka masuk ke syurga berbanding orang kaya kerana orang kaya akan dihitung punca harta diperoleh dan di mana mereka membelanjakannya.